Petisyen BN ditolak, PAS kekal di Parlimen Kemaman

Petisyen BN ditolak, PAS kekal di Parlimen Kemaman

Hakim bersetuju dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Che Alias Hamid daripada PAS memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada PRU15. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan mengekalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi (Luham) PAS Pusat, Ahmad Lufti Awang, dalam kenyataan berkata Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas turut memerintahkan pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil membayar kos RM30,000 kepada Che Alias.

Katanya, dalam prosiding diadakan dalam talian menerusi aplikasi Zoom, Abazafree memberitahu mahkamah bersetuju dengan satu daripada empat isu bantahan awal dikemukakan peguam bela mewakili Che Alias, berkaitan fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Katanya, hal ini kerana tujuh program rasmi yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu iaitu bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya serta asnaf tidak mempunyai butiran rasuah atau sogokan, termasuk tiada maklumat penerima dan tiada fakta menunjukkan penerima juga adalah pengundi berdaftar.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan Wan Mohamad Hisham mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Pada prosiding tersebut, Che Alias diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong, manakala Wan Mohamad Hisham diwakili peguam Hafarizam Harun, Abu Bakar Isa Ramat, Amin Othman, Mohamed Baharudeendan dan Norhazira Abu Haiyan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.