
Senator Ajis Sitin berkata, pendapatan daripada dividen tidak setimpal dengan keluasan ladang, maka beliau khuatir ada masalah kecurian kelapa sawit atau pemilihan kontraktor operasi yang tidak cekap.
“Pengurusan yang sangat lemah oleh Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) menyebabkan majoriti ladang TSK Orang Asli tidak berjaya menghasilkan pulangan yang baik kepada peserta,” katanya kepada FMT.
Ajis yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli berkata, isu dividen dan kecurian kelapa sawit di ladang TSK pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, bulan lepas.
Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan kepada kerajaan negeri bulan lalu, termasuk berkaitan kelemahan RPSB mengurus ladang tersebut.
“Di Pahang, dimaklumkan bahawa pengurusan TSK ini akan dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan dikenali Pahang Orang Asli Corporation (Oraco) pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ajis mencadangkan kerajaan menyerahkan pengurusan ladang tersebut kepada “pihak yang mampu dan bersungguh-sungguh” ingin membantu peserta Orang Asli memperoleh pulangan yang baik.
“Di luar sana ramai pengusaha ladang sawit daripada masyarakat Orang Asli sendiri boleh bantu mengusahakan ladang yang kurang berhasil ini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menjalankan pengukuran lot tanah dan memberikan geran individu kepada peserta agar ladang boleh diusahakan secara persendirian dengan untung rugi ditanggung pemilik.
Timbalan menteri pembangunan luar bandar sebelum ini, Abdul Rahman Mohamad, pada 2021 memaklumkan terdapat 127 kebun Orang Asli dengan keluasan 16,793.65 hektar menyertai program TSK dan menerima bantuan berkaitan, serta diurus RPSB.
Katanya, terdapat 94 projek RPSB di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, dan Kelantan, dengan 82 daripadanya berhasil dan 12 lagi masih dalam peringkat pembangunan.