Peletakan jawatan Nurul Izzah ‘baik’, tapi lantikannya patut dielak

Peletakan jawatan Nurul Izzah ‘baik’, tapi lantikannya patut dielak

C4 berkata Anwar Ibrahim harus memastikan tiada lagi pelantikan seperti itu dalam pentadbirannya pada masa depan.

Pushpan Murugiah (kiri) and Charles Santiago berkata Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah mendengar pandangan ramai.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan anti-rasuah menyambut baik peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri, namun berpendapat pelantikan itu tidak seharusnya dibuat.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata walaupun ia menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak terhadap saranan pelbagai pihak namun beliau harus memastikan pelantikan seperti itu tidak lagi berulang pada masa depan.

“Amalan ini tidak seharusnya berlaku,” kata ketua pegawai eksekutifnya Pushpan Murugiah.

“Ia mengganggu fokus kerajaan untuk melaksanakan reformasi urus tadbir diperlukan bagi memerangi isu rasuah yang lebih besar.”

Nurul Izzah yang mengumumkan peletakan jawatannya hari ini akan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Hassan Marican.

Peletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dibuat susulan kritikan pelbagai pihak terhadap pelantikannya yang dikaitkan dengan amalan nepotisme.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula berkata peletakan jawatan itu menunjukkan pentadbiran Anwar mendengar dan bertindak terhadap kritikan.

Menurutnya, keputusan Nurul Izzah menganggotai sekretariat terbabit menunjukkan beliau tidak pernah menyerah untuk menjayakan hasratnya memperbaiki keadaan di negara ini.

“Kita harus menyokong Nurul Izzah dan mengalakkan lebih ramai orang sepertinya untuk berkhidmat secara sukarela kepada kerajaan,” katanya kepada FMT.

Sebuah lagi pertubuhan komuniti iaitu Aliran turut menyokong keputusan naib presiden PKR itu dan berpendapat ia mampu memberi manfaat kepada beliau dan bapanya kerana ada jurang profesional antara mereka.

“Semua pemimpin politik dan mereka yang memegang jawatan awam harus mengelakkan nepotisme,” kata Presiden Aliran Anil Netto.

Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berpendapat peletakan jawatan itu hanya cubaan untuk menarik perhatian rakyat.

“Peletakan jawatan itu tidak bermakna kerana dia masih ahli keluarga yang bekerja secara langsung di pejabat bapanya,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.