Lebih 1,000 kawasan dijangka alami gangguan bekalan air

Lebih 1,000 kawasan dijangka alami gangguan bekalan air

Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual itu susulan pencemaran bau dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang.

Air Selangor terpaksa menghentikan tugas sementara empat loji iaitu LRA Rantau Panjang serta LRA SSP1, LRA SSP2, dan LRA SSP3.
PETALING JAYA:
Lebih 1,000 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Air Selangor memaklumkan henti tugas sementara itu melibatkan LRA Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

“Lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (30 kawasan), Klang & Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurut Air Selangor, mereka akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden terbabit dari semasa ke semasa kepada pengguna menerusi semua medium khususnya media massa.

“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengesan bau seakan diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang.

Susulan itu, LUAS berkata, pihaknya mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan gangguan bekalan air di Lembah Klang susulan pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang, dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.