Kemudahan mesti seragam dengan penjenamaan KLIA, klia2, kata pemain pelancongan

Kemudahan mesti seragam dengan penjenamaan KLIA, klia2, kata pemain pelancongan

Menurut mereka, ia penting untuk dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pelancong.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata KLIA dan klia2 dijenamakan sebagai KLIA Terminal 1 dan 2 demi meningkatkan kebolehpasaran dan bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa lain di rantau ini.
PETALING JAYA:
Pemain pelancongan menyambut baik keputusan penjenamaan KLIA dan klia2 sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, namun mahu kemudahan dan perkhidmatannya juga mesti dinaik taraf bagi menggamit lebih ramai pelancong.

Mengambil contoh Lapangan Terbang Changi, Singapura, Bendahari Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong, berkata lapangan terbang itu mempunyai lima terminal, tetapi setiap satunya mempunyai standard perkhidmatan sama.

“Perubahan (nama) perlu disusuli naik taraf dan pembaharuan perkhidmatan kerana satu sebab mengapa orang suka mengembara adalah (menikmati) kemudahan dan keselesaan lapangan terbang itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, perbezaan antara kedua-dua lapangan terbang berkenaan adalah imej negatif kesan penjenamaan klia2 sebelum ini sebagai terminal tambang murah.

Katanya, pelancong mungkin mempunyai tanggapan klia2 tidak mempunyai perkhidmatan tertentu, memandangkan sebagai terminal tambang murah, ia memberi petunjuk kepada penyediaan perkhidmatan yang juga rendah.

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita), Uzaidi Udanis, senada dengan Wong, merujuk sikap pelancong yang semakin sofistikated.

“Lokasi pertama ketibaan pelancong di negara ini adalah lapangan terbang, jadi kita mesti memastikan kakitangan lapangan terbang produktif dan mesra bagi menyediakan faktor ‘wow’ buat pelancong,” katanya.

Uzaidi berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu melaksanakan lebih usaha memasarkan dua terminal terbabit, terutama menarik lebih banyak jumlah penerbangan, yang mana Malaysia dilihat terbelakang.

“Kita tidak boleh bergantung kepada penerbangan berjadual kerana kebanyakan syarikat penerbangan mempunyai jumlah terhad pesawat beroperasi,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, mengumumkan KLIA dan klia2 akan dijenamakan semula sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan keberkesanan, selain bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa lain di rantau ini.

Bagaimanapun, Loke tidak menyatakan bila ia akan dilaksanakan, sambil berkata kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu memperhalusi perjanjian operasi baharu mereka terlebih dahulu.

Sambil mengalu-alukan langkah itu, Uzaidi berkata, Malaysia sedang menyesuaikan dengan standard antarabangsa, memandangkan beberapa lapangan terbang antarabangsa menggunakan terma “terminal”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.