Bukan Kabinet bayangan, ketua portfolio hanya ‘pantau’, kata Hamzah

Bukan Kabinet bayangan, ketua portfolio hanya ‘pantau’, kata Hamzah

Hamzah Zainudin berkata ramai yang salah tafsir menganggap ketua portfolio itu sebagai Kabinet bayangan PN.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata pengkhususan portfolio itu dibuat bagi membolehkan PN melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan membabitkan setiap kementerian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menjelaskan senarai jawatankuasa portfolio Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan baru-baru ini bukan Kabinet bayangan gabungan itu.

Beliau berkata, ketua portfolio yang dilantik itu adalah untuk meneliti, mengkaji dan menjuarai isu membabitkan kementerian berkaitan.

“Ramai yang salah tafsir menganggap ketua-ketua portfolio ini sebagai Kabinet bayangan…sebenarnya bukan.

“Pengkhususan portfolio ini dibuat bagi membolehkan PN bergerak sebagai sebuah pasukan yang kukuh dan ampuh dalam melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan membabitkan setiap kementerian,” katanya di Facebook.

Hamzah berkata, dengan Ahli Parlimen PN ditugaskan dalam portfolio masing-masing, rakyat dapat melihat bagaimana mereka bertindak semasa perbahasan Parlimen dan memberikan kritikan membina terhadap kerajaan.

“Pasukan ini akan melangkah secara sederap dan seirama dalam menegur, menyatakan pandangan serta tidak terkecuali memberi sokongan terhadap perkara-perkara yang baik bawah pentadbiran perdana menteri ke-10 (Anwar Ibrahim),” katanya.

Awal bulan ini, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai jawatankuasa itu yang dianggap ramai pihak sebagai Kabinet bayangan mereka.

Bekas perdana menteri itu mengetuai jawatankuasa berkenaan dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai timbalan ketua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.