UiTM Holdings: KPT tunggu siasatan selesai sebelum ambil tindakan

UiTM Holdings: KPT tunggu siasatan selesai sebelum ambil tindakan

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berharap SPRM dapat menyegerakan siasatan berhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan syarikat itu.

UiTM Holdings dilaporkan rugi RM157 juta yang didakwa berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
JOHOR BAHRU:
Kementerian Pendidikan Tinggi akan menunggu laporan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan sehingga mengakibatkan UiTM Holdings Sdn Bhd mengalami kerugian mencecah RM157 juta, sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menterinya Mohamed Khaled Nordin berkata SPRM diharap dapat menyegerakan siasatan berhubung dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan syarikat pegangan pelaburan milik penuh Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

“(Mengenai dakwaan penyelewengan) UiTM Holdings itu, memang saya mengharapkan siasatan SPRM dapat disegerakan supaya saya sendiri pun tahu apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam.

Semalam, media melaporkan SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan UiTM Holdings, yang turut melibatkan dana dan beberapa pelaburan dibuat syarikat itu sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Selasa lalu, UiTM Holdings dilaporkan rugi RM157 juta yang didakwa berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.