
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata sumbangan setiap bulan mengikut kadar difikirkan sesuai itu boleh dilakukan segera sehingga harga getah kembali stabil.
Beliau juga mencadangkan empat langkah lain antaranya menaikkan kadar bantuan tanam semula pokok getah bagi menggantikan pokok tua dan tidak ekonomik atau menghasilkan untung.
“Ini bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula getah dari klon berkualiti tinggi,” kata Ahli Parlimen Jerantut itu dalam kenyataan.
Khairil berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan subsidi dan penetapan harga lantai getah selain mewujudkan dana khas tanaman lain untuk membantu mencari pendapatan sampingan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mencontohi Thailand yang memperkenalkan teknologi terkini dalam penanaman getah untuk menarik golongan muda menjadi usahawan berasaskan komoditi itu.
Bulan lalu, media melaporkan pendedahan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) yang mendakwa 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara merungut kerana dipandang sepi kerajaan dalam isu kejatuhan harga komoditi itu.
Penoreh getah mengharapkan harga getah naik melebihi RM3 sekilogram namun apa yang berlaku, harganya jatuh mendadak antara RM2 hingga RM2.30 sekilogram.