Runding dengan Umno dulu, kata Salahuddin jika ahli dipecat mohon sertai Amanah

Runding dengan Umno dulu, kata Salahuddin jika ahli dipecat mohon sertai Amanah

Timbalan presiden Amanah berkata perkara itu perlu dirunding demi menjaga keharmonian PH dan BN yang bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata mereka perlu berunding dengan Umno berhubung penyertaan mana-mana individu dipecat Umno ke dalam parti itu.
PETALING JAYA:
Amanah perlu berunding dengan Umno terlebih dahulu sekiranya ada mana-mana individu dipecat parti itu mahu menyertai mereka, kata timbalan presidennya, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, tindakan itu wajar dilakukan bagi menjaga keharmonian Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional, yang kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Kita kena libat urus dahulu dengan Umno, berjumpa dan berunding kalau kita rasa perlu. Macam ingin bertunang, mesti kita runding dahulu, bagaimanapun (rundingan) hanya dibuat kalau perkara itu berlaku,” katanya menurut Bernama.

Mesyuarat MKT Umno bulan lalu membuat ketetapan memecat bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Umno turut menggantung bekas naib presidennya, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.

Parti itu juga bertindak memecat lima ahli Umno Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Putrajaya, dua ahli Umno Tanjong Karang serta 26 ahli Umno dari Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.