PM pertahan lantikan Nazri duta besar ke AS

PM pertahan lantikan Nazri duta besar ke AS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Nazri Aziz disahkan awal tahun lalu dan ia mengambil masa enam bulan untuk AS mengesahkannya.

Sejak Februari tahun lalu, terdapat khabar angin bahawa bekas menteri Nazri Aziz akan dilantik sebagai duta ke Amerika Syarikat.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak ada salahnya bekas menteri persekutuan, Nazri Aziz, dilantik duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Beliau menegur pihak yang cuba menimbulkan isu mengenai pelantikan itu, dengan berkata keputusan terbabit dibuat awal tahun lalu.

“Apa masalah dia sebagai duta. Pelantikan dilakukan hampir setahun lalu. Ia mengambil masa enam bulan AS mengesahkannya.

“Apabila saya menjadi perdana menteri, saya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk tangguh sedikit sehingga saya membentuk Jemaah Menteri. Ini disebabkan mereka (Jemaah Menteri) harus dimaklumkan juga mengenai pelantikan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bantuan pelajar antarabangsa oleh Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF) di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pada Khamis, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu telah dilantik sebagai duta besar ke AS.

Wisma Putra dalam kenyataan, berkata Nazri dan sembilan lain menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan diplomatik baharu daripada Agong menerusi satu istiadat, di Istana Negara.

Terdapat khabar angin sejak Februari tahun lalu bahawa wakil Umno dan bekas menteri itu akan dilantik sebagai duta besar ke AS.

Pada Jun 2022, Nazri menepis khabar angin itu, memberitahu FMT ia hanya spekulasi dan berkata “tunggu sahaja”.

Beliau sebelum ini dikaitkan dengan jawatan duta ke Switzerland, walaupun dilaporkan telah ditolak kerajaan Switzerland.

Kementerian Luar berkata, Nazri mempunyai pengalaman luas dalam Jemaah Menteri sebelum ini dengan memegang portfolio pelancongan, undang-undang dan pembangunan usahawan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.