Pasukan Smart berjaya keluarkan 6 mayat mangsa gempa Turki

Pasukan Smart berjaya keluarkan 6 mayat mangsa gempa Turki

Semua mayat itu ditemukan di sebuah bangunan hotel dan kediaman tujuh tingkat yang musnah di Nurdagi.

Pasukan Smart yang dihantar ke Turki bagi misi SAR Isnin lalu berjaya menemukan enam mayat gempa bumi di Turki. (Gambar Bernama)

GAZIANTEP (Turki): Pasukan Smart menemukan enam mayat mangsa gempa bumi di sebuah bangunan hotel dan kediaman tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya di Nurdagi di sini, pada Jumaat.

Lima mayat terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki dipercayai sekeluarga itu dijumpai pada 9.30 pagi waktu tempatan, manakala mayat keenam iaitu seorang wanita ditemukan pada 2.10 petang.

Pasukan Smart ialah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Malaysia yang pertama dihantar ke Turki, Isnin lalu.

Pada Rabu, kerajaan Malaysia menghantar satu lagi pasukan SAR terdiri daripada 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Turut menyertai pasukan berkenaan ialah dua petugas Bernama dan seorang petugas RTM.

Nurdagi adalah antara kawasan di Gaziantep yang teruk terjejas susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Turki, pada Isnin.

Pemerhatian Bernama yang tiba di sini pada 3 pagi waktu tempatan pada Jumaat, mendapati bandar Nurdagi mengalami kemusnahan teruk, apabila bangunan kediaman setinggi dua hingga tujuh tingkat runtuh sepenuhnya.

Kawasan runtuhan ditugaskan kepada pasukan Smart ialah sebuah hotel dan kediaman setinggi tujuh tingkat yang runtuh sepenuhnya dan dipercayai terdapat lebih 100 mangsa terkorban dalam runtuhan bangunan itu.

Lebih menyedihkan, ramai anggota keluarga yang terselamat berkumpul di sekitar kawasan runtuhan berkenaan melihat usaha SAR dilakukan pasukan penyelamat tempatan dan Malaysia, dengan harapan dapat melihat anggota keluarga mereka dijumpai dalam keadaan masih hidup.

Namun, berdasarkan pengamatan, peluang mangsa hidup ditemui mungkin amat tipis berikutan sudah lama terperangkap serta cuaca sejuk melampau dengan bacaan 0 hingga tiga darjah Celcius pada waktu siang dan boleh menurun hingga -6 darjah Celcius pada waktu malam sehingga sebelum matahari terbit, pada kira-kira 7.30 pagi.

Mangsa terselamat kebanyakannya masih berada di sekitar sini dan tinggal di khemah disediakan The Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD), sebuah agensi pengurusan bencana kerajaan Turki.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada Isnin, telah meragut ribuan nyawa.

Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Jumlah korban dalam tragedi gempa bumi kuat di Turki terus meningkat dengan setakat ini seramai 20,318 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 80,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik agensi bencana negara itu pada Jumaat.

Pada Selasa, Turki mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.