Malaysia kekal sumber penting import ayam, kata menteri Singapura

Malaysia kekal sumber penting import ayam, kata menteri Singapura

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong berkata bagaimanapun pihaknya sedang meneroka bagaimana untuk terus mengimport ayam hidup dari negara lain, termasuk Indonesia.

Pelaksanaan larangan sementara eksport ayam tahun lalu mendapat kritikan ahli ekonomi dan penternak berhubung kesan jangka panjang kerana Singapura boleh mencari sumber alternatif. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Malaysia akan terus menjadi sumber penting ayam bagi Singapura di sebalik larangan sementara eksport dilaksanakan Putrajaya tahun lalu, kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong.

Kira-kira 34% bekalan ayam Singapura diimport dari Malaysia, yang mana larangan eksport ayam hidup berkuatkuasa bermula 1 Jun hingga 11 Okt tahun lalu bertujuan memastikan bekalan mencukupi bagi pasaran domestik.

Walaupun hanya larangan sementara, langkah itu dikritik ahli ekonomi dan penternak yang bimbang Singapura beralih kepada sumber ayam dari negara lain, sekali gus menjadikan Malaysia hilang pasaran utama eksportnya.

Dalam wawancara bersama media Malaysia, Gan berkata, kerajaannya perlu mempelbagaikan pilihan daripada ayam segar dan sejuk beku, termasuk sumber protein lain, apabila larangan itu berkuat kuasa.

“Dari sudut kesannya, bekalan terganggu bagi tempoh jangka pendek. Namun, kami gembira kerana mampu bekerjasama dengan pengimport kami untuk melihat cara bagaimana kami boleh meningkatkan bekalan dari sumber alternatif,” katanya.

“Kini, kami sedang meneroka bagaimana kami boleh terus mengimport ayam hidup dari negara lain, termasuk Indonesia.

“Menuju ke hadapan, Malaysia masih kekal menjadi sumber penting bagi ayam segar.”

Singapura yang mengimport ayam dari Brazil (49%) dan Amerika Syarikat (12%) sebelum Malaysia melaksanakan larangan eksport, menjadikan Indonesia sebagai sumber baharunya.

Kurang daripada sebulan selepas sekatan eksport dikenakan, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, lebih 20 negara menerima pentauliahan eksport ayam ke Singapura sebagai langkah menjamin bekalan kesan larangan dikenakan.

Mengambil maklum berhubung kebergantungan negaranya terhadap import makanan kerana tanah yang terhad, Gan berkata Singapura akan terus menumpukan perhatian terhadap mempelbagaikan sumber makanan dan bekalan sebagai usaha mengukuhkan keselamatan makanan.

Katanya, banyak aspek melingkari daya tahan bekalan dan keselamatan makanan dengan perbincangan antara Singapura dan Malaysia sedang berjalan berhubung kerjasama dengan peladang dan pembekal Malaysia berkait isu seperti keselamatan bio.

“Kami sudah melakukan ini dari segi keselamatan bio demi memastikan ladang terbabit mempunyai pendekatan keselamatan bio memuaskan, bagi menjamin keselamatan bekalan makanan,” katanya.

“Pada masa sama, (kami mahu) melihat sama ada wujud potensi pelaburan dalam pengeluaran bekalan makanan di Malaysia, yang mana secara umumnya dipelopori sektor swasta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.