
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, bersama rakannya ke Sungai Kombat, Felda Perasu pada 4.30 petang.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Amir dihanyutkan ke tempat lebih dalam.
“Dua rakan lain berjaya menarik Amir naik ke tebing, namun cubaan menyelamatkan mangsa menggunakan sebatang kayu tidak berjaya kerana ia patah sebelum Fakhrul tenggelam,” katanya menurut Bernama.
Sik berkata, mangsa kemudiannya ditemui timbul, namun dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum diberi bantuan awal pernafasan (CPR) oleh rakannya.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Peras dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.”
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, katanya, tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Kes diklasifikasikan mati mengejut.