
Menteri kerja raya itu menyambut baik saranan Premier Sarawak dan Pengerusi GPS, Abang Johari Openg menambah baik skim gaji penjawat awam negeri bagi menggalakkan lebih ramai pemohon Cina menyertai sektor itu.
Katanya, langkah itu perlu disokong sistem pengambilan lebih adil kerana hanya sebilangan kecil etnik bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam.
Beliau berkata, masyarakat Cina dan Dayak berasa terpinggir akibat peluang pekerjaan tidak sama rata.
“Saya mengesyorkan kerajaan Sarawak mewujudkan sistem kuota di peringkat pengambilan, di mana pada kebiasaannya di sinilah bermulanya ketidakadilan.
“Situasi ini seterusnya memberikan kesan domino, di mana dapat dilihat peratus penglibatan rendah dalam kalangan etnik lain dan kaum bukan Melayu yang memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan pusat dan negeri,” katanya di Facebook.
Tetapi, beliau mendapati berlaku peningkatan kakitangan pelbagai etnik dalam perkhidmatan awam negeri sejak Abang Johari berkuasa.
“Bukan itu saja, kita juga dapat melihat pelantikan daripada kumpulan etnik dan bukan Melayu yang mula diberikan kepercayaan untuk mengemudi jawatan tertinggi, baik dalam pentadbiran awam Sarawak mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Hala tuju premier Sarawak dalam sistem pengambilan pekerja dengan memegang falsafah mereka yang mempunyai merit akan diberi peluang, patut dijadikan panduan bagi memastikan peluang adil kepada semua.”
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan Sarawak sedang mengusahakan skim gaji baharu untuk penjawat awam negeri bagi melahirkan tenaga kerja cekap, memerangi rasuah, selain menggalakkan kepelbagaian dalam pemohon jawatan sektor awam.