Hak masing-masing, nak lapor kepada JPPM, kata Tok Mat

Hak masing-masing, nak lapor kepada JPPM, kata Tok Mat

Terpulang kepada JPPM untuk memutuskan sama ada laporan yang dibuat mengenai usul jawatan 'Top 2' tidak dipertandingkan itu mempunyai merit, kata timbalan presiden Umno itu.

Mohamad Hasan berkata, kepimpinan Umno telah memberi JPPM semua maklumat yang diminta berhubung usul jawatan ‘Top 2’ tidak dipertandingkan.
PETALING JAYA:
Ahli Umno berhak membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai usul jawatan “Top 2” tidak dipertandingkan, yang diluluskan pada perhimpunan agung tahunan parti (PAU) bulan lepas, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, terpulang kepada JPPM untuk memutuskan sama ada laporan yang dibuat mempunyai merit.

Beliau berkata, kepimpinan parti telah memberi JPPM semua maklumat diminta berhubung usul itu, yang memastikan Mohamad, dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan mengekalkan jawatan mereka tanpa bertanding pada pemilihan parti yang mesti diadakan sebelum 19 Mei.

“Apabila ada orang tak puas hati jadi, dia akan buat aduan (kepada JPPM), itu hak masing-masing.

“Tetapi, terpulang kepada JPPM untuk meneliti sama ada aduan tersebut ada merit atau tidak,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Mohamad berkata demikian apabila diminta mengulas tentang laporan yang dibuat oleh dua ahli Umno yang meminta JPPM menyiasat kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti.

Mereka mendakwa pembentangan usul itu pada PAU melanggar Perkara 10 dalam perlembagaan parti.

Kedua-dua ahli Umno itu turut menegaskan bahawa usul tersebut mestilah dibentangkan dua minggu sebelum PAU, atau tujuh hari jika dibentangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi.

FMT melaporkan bahawa JPPM memberi Umno tempoh 60 hari untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai usul berkenaan.

Zahid berkata, Umno telah bertemu JPPM dua kali berhubung perkara itu, diwakili oleh Setiausaha Agung Ahmad Maslan dan penasihat undang-undang parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.