
Chin Kok Foong, 46, didakwa menggunakan invois palsu bertarikh 28 Sept 2019 dan 5 Mei 2020 milik APC Builder & Construction Sdn Bhd di sebuah premis di Jalan Stesen Sentral 2, di sini, awal Oktober 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, P Nom Phot tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, manakala peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan memohon jaminan rendah antara RM2,000 hingga RM3,000.
“Anak guam saya yang berpendapatan RM30,000 sebulan perlu menanggung isteri tidak bekerja, ayah serta dua anak berumur 14 dan 15 tahun yang masih bersekolah. Dia juga telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” kata peguam itu.
Majistret Nadia Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mac ini.