Beri moratorium terhadap Sosma, Suaram beritahu Putrajaya

Beri moratorium terhadap Sosma, Suaram beritahu Putrajaya

Suaram berkata undang-undang zalim itu perlu dikaji semula kerana mengandungi banyak peruntukan kontroversi bertentangan dengan hak asasi manusia.

Peguam T Harpal Singh (tiga dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy (empat dari kiri) bersama ahli keluarga tahanan Sosma.
KUALA LUMPUR:
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan mengenakan moratorium ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan menggunakan kanun keseksaan lain yang sedia ada untuk menangani siasatan jenayah.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata ini kerana terdapat banyak peruntukan kontroversi di bawah Sosma yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Jika undang-undang itu jelas kontroversi, mengapa digunakan secara meluas? Sebab itu kami mahu Kementerian Dalam Negeri mengenakan moratorium ke atas Sosma,” katanya.

Beliau mendakwa, ahli keluarga tahanan Sosma mengadu mereka berdepan penyeksaan selama 28 hari sepanjang ditahan.

“Ini bukan khabar angin. Ahli keluarga telah membuat beberapa laporan tetapi sehingga kini tiada maklumat terkini daripada polis,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri 30 ahli keluarga tahanan Sosma.

Masalah lain dengan akta itu ialah tahanan tidak dibenarkan diikat jamin, walaupun peruntukan Sosma membenarkan tahanan diikat jamin atas sebab kesihatan.

Sevan berkata, terdapat kes di mana seorang tahanan sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Tanjung Rambutan tetapi masih ditahan di bawah Sosma.

Peguam T Harpal Singh, yang mewakili beberapa tahanan Sosma, berkata isunya bukanlah orang itu ditahan selama 28 hari, tetapi jaminan itu harus disediakan selaras dengan konsep “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”.

“Saya pernah mengendalikan kes di mana anak guam saya ditahan di bawah Sosma kerana didakwa menyeludup migran. Dia menghabiskan masa empat setengah tahun di penjara sebelum mahkamah memutuskan dia tidak bersalah.

“Adakah itu adil untuknya?” soalnya dan menggesa kerajaan menyegerakan semakan semula Sosma bagi membenarkan jaminan.

Mengenai hal kesihatan, Harpal berkata, badan kehakiman tidak sepatutnya campur tangan dengan pendapat profesional perubatan.

“Jika doktor mengatakan orang itu sakit, itu bermakna mereka sakit. Mereka harus dibenarkan ikat jamin,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, berkata tidak akan ada semakan semula Sosma buat masa ini.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengingatkannya tentang ikrar pilihan raya oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula undang-undang zalim sekiranya mengambil alih Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.