‘Turun padang bukan hanya duduk pejabat’, KSN beritahu ketua jabatan

‘Turun padang bukan hanya duduk pejabat’, KSN beritahu ketua jabatan

Gesaan itu dibuat kepada penjawat awam supaya mencontohi perdana menteri yang 'turun padang' setiap Jumaat untuk solat dan makan tengah hari bersama rakyat.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali bimbang penjawat awam yang ditugaskan tidak dapat menghayati isu sebenar permasalahan rakyat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua jabatan kerajaan disaran fokus turun padang berbanding duduk di pejabat dalam membuat keputusan mengenai permasalahan rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali.

Beliau menyarankan penjawat awam mencontohi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turun padang setiap Jumaat untuk solat dan makan tengah hari bersama rakyat di pelbagai lokasi seluruh negara.

“Saya rasa perkara ini boleh dijadikan contoh untuk setiap kepada kita seperti ketua jabatan (untuk) sama-sama turun dan lihat sendiri apa dilalui rakyat.

“Kita lebih mudah memahami dan lebih mudah hayati permasalahan tersebut,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat KSN 2023 di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Zuki membuat saranan kerana bimbang penjawat awam yang ditugaskan tidak dapat menghayati permasalahan rakyat.

“Kadang-kadang kita buat keputusan banyak lebih berada di pejabat (iaitu) daripada kertas cadangan diangkat oleh pegawai kita. Saya khuatir kalau tak dapat hayati isu sebenar dihadapi di bawah yang amat diharap oleh rakyat pada kita semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuki berkata kejatuhan tiga tahun berturut-turut skor Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) memberikan tanggapan buruk kepada penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan perlu menerapkan mekanisme akauntabiliti yang telus dalam memperbaiki skor CPI negara.

“Ini seperti tadbir urus terbaik bagi mengelakkan salah guna kuasa berulang. Menjadi tanggungjawab kita semua memastikan pencapaian CPI kembali ditingkatkan bagi memulihkan imej dan martabat negara,” katanya.

Pada 31 Jan lalu Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata dalam CPI 2022.

Transparency International-Malaysia (TI-M) dalam laporan terbarunya berkata Malaysia mendapat mata CPI 47, tahun lalu.

Ini bermakna negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International sejak tiga tahun lalu.

Pada 2019 Malaysia mencatat mata CPI 53, namun berkurang kepada 51 pada 2020 dan 48 pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.