Tak pernah ragu Jho Low penasihat Najib, saksi beritahu mahkamah

Tak pernah ragu Jho Low penasihat Najib, saksi beritahu mahkamah

Bekas pengurus perhubungan Ambank berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib Razak.

Joanna Yu memberitahu mahkamah Jho Low berperanan dalam urusan mengenai 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak pernah meragui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Najib Razak, yang ketika itu pengerusi lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Joanna Yu, 52, berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib dan pihak atasan pengurusan 1MDB yang lain juga merujuk Jho Low sebagai “bos”.

“Semua pertemuan kami dengan 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi (ketika itu ketua pegawai eksekutif 1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, (ketika itu ketua pegawai pelaburan 1MDB) dan Terence Geh (ketika itu timbalan ketua kewangan 1MDB pegawai) merujuk Jho Low sebagai ‘bos’ dan Najib sebagai ‘bos besar’.

“Beliau (Jho Low) sangat berperanan dalam urusan mereka mengenai 1MDB dan bagi saya, saya percaya beliau adalah penasihat kepada Najib.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat Najib di pejabat 1MDB, tetapi saya telah melihat Jho Low. Saya percaya apabila Shahrol dan Nik Faisal bercakap tentang urusan, mereka selalu merujuk semula kepada Jho Low.
“Jadi, saya tidak meragui Jho Low mewakili Najib,” katanya sambil menambah beliau diperkenalkan Jho Low pada 2007.

Yu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan Najib dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Semasa ditanya Ahmad Akram sama ada terdapat mana-mana individu yang memberitahunya Jho Low bukan penasihat Najib, Yu menjawab tiada.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, satu lagi komunikasi oleh Jho Low yang membuatkan beliau yakin ahli perniagaan itu mewakili Najib ialah mesej melalui BlackBerry Messenger (BBM) berhubung isu kad kredit AmBank bekas perdana menteri itu.

“Saya tidak mempunyai sebab untuk meraguinya (Jho Low), apabila beliau berkata (dalam mesej BBM) bahawa cek telah ditulis, apabila berkata kad kredit tidak boleh digunakan, ada transaksi ditolak, dan apabila berkata ada masuk dana ke akaun Najib, saya tidak sangsi beliau mewakili (Najib) apabila beliau berkomunikasi dengan saya.

“Saya tidak meragui Jho Low berhubung dengan Najib, terutamanya mengenai kad kredit di Itali bahawa bank itu menolak transaksi tertentu, saya berasa amat terkilan kerana menolak transaksi kad kredit PM.

“Yang itu saya bimbang akan ada kesan dan saya percaya Jho Low berkomunikasi dengan Najib dan beliau (Low) menerima arahan,” kata Yu.

Ditanya sebab beliau menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib dan tidak menyemak secara peribadi dengan Najib, Yu menjawab: “Ini juga kerana Najib adalah perdana menteri Malaysia. Saya tidak fikir saya akan pergi atau menghubungi pejabatnya, itu bukan peringkat saya.”

Sementara itu, menjelaskan bagaimana akaun Najib sentiasa ditambah setiap kali pengeluaran berlebihan, Yu berkata, akaun itu menerima dana di kaunter daripada dua individu dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie.

Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

Yu: Tidak. Setahu saya, mereka (Kee dan Josie) adalah orang Cina Malaysia.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 27 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.