Tak guna ejen jimat 80% kos ambil pekerja, kata MEF

Tak guna ejen jimat 80% kos ambil pekerja, kata MEF

Persekutuan Majikan Malaysia menyifatkan langkah itu 'tepat pada masanya' kerana majikan berdepan banyak cabaran dalam menguruskan kos pengendalian operasi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Dalam Negeri berhenti menggunakan ejen pengambilan pekerja asing yang mengenakan kos tinggi sama seperti ‘perhambaan moden’.
PETALING JAYA:
Menghentikan penggunaan ejen bagi pengambilan pekerja asing seperti diarahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dapat mengurangkan kos pengambilan sehingga 80%, menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman menyifatkan langkah itu “tepat pada masanya” kerana majikan berdepan banyak cabaran dalam menguruskan kos pengendalian operasi mereka.

“Keputusan menghentikan penggunaan perkhidmatan ejen pihak ketiga akan membabitkan penjimatan keseluruhan kos kira-kira 80% untuk membawa masuk setiap pekerja asing dari negara sumber,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengurangan kos itu dapat menyelesaikan satu daripada petunjuk utama buruh paksa yang dihadapi majikan Malaysia – ikatan hutang.

Syed Hussain berkata, disebabkan pembabitan ejen, pekerja asing tiada banyak pilihan, kecuali membuat pinjaman berfaedah tinggi atau menggadai harta mereka untuk membayar yuran pengambilan tinggi yang menyebabkan mereka “terikat dengan hutang”.

Beliau menyarankan kerajaan membenarkan majikan mengambil pelarian yang memiliki kad kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Pelarian ini sudah berada dalam negara, terdiri daripada ramai pekerja berkemahiran dan tidak berkemahiran.”

Katanya, majikan tidak perlu menanggung kos membawa masuk pekerja asing, jika pelarian dibenarkan bekerja. Jika pelarian diambil bekerja, mereka perlu membayar cukai.

Semalam, Anwar dilaporkan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing yang membabitkan kos tinggi.

Katanya, yuran tinggi dikenakan ejen sama seperti “perhambaan moden”.

Yuran ejen pekerjaan sekian lama didakwa sebagai punca kenaikan kos pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Pada 5 Feb 2022, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Saravanan mengingatkan majikan yang mahu mengambil pekerja asing memohon secara terus dari kementerian itu, bukannya melalui agensi pekerjaan swasta.

Kataya, permohonan yang dibuat agensi pekerjaan akan ditolak serta-merta.

Pada 2018, pendahulunya, M Kulasegaran dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji peranan agensi pekerjaan.

Pusat sehenti untuk pengambilan pekerja asing diletakkan semula di bawah KDN Disember lalu. Langkah itu menyusul hanya enam bulan selepas kerajaan terdahulu meletakkan pusat itu di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.