
“Walaupun Muda (menyokong) kerajaan perpaduan, mesyuarat itu hanya melibatkan pihak dengan tiga Ahli Parlimen atau lebih, dan mereka adalah penandatangan (perjanjian),” katanya kepada media selepas pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia terkini Bank Dunia.
Beliau berkata, penandatangan perjanjian gabungan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan.
Di majlis berasingan, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata mesyuarat sekretariat itu untuk pihak yang mempunyai peranan dalam kerajaan.
Ahli Parlimen PH, BN, GPS, dan GRS sebahagian daripada Jemaah Menteri manakala Yusof Apdal daripada Warisan adalah timbalan menteri.
Anwar yang juga pengerusi PH berkata pihak lain seperti Muda akan terlibat dalam jawatankuasa yang dibentuk oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk memastikan penyelarasan dasar.
Semalam, Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, mengeluh berikutan kurangnya komunikasi antara PH dan partinya, mendakwa ia tidak diundang ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Sambil menegaskan beliau tidak kecewa, Amir berkata PH sepatutnya memaklumkan kepada Muda tentang pertemuan itu atau keputusannya.
Katanya, Muda hanya mengetahui perkara dibincangkan pada mesyuarat itu selepas ia disiarkan dalam berita.
Muda dan PH menandatangani pakatan pilihan raya untuk PRU15. Ahli Parlimen tunggal parti itu ialah presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.