Muhyiddin nafi beri kontrak kepada syarikat menantu, anggap ia fitnah jahat

Muhyiddin nafi beri kontrak kepada syarikat menantu, anggap ia fitnah jahat

Bekas perdana menteri menyifatkan tuduhan itu sengaja direka bagi mencalar maruah beliau dan keluarga.

Muhyiddin Yassin berkata tuduhan yang dilemparkan itu berniat jahat bagi mencalar maruah beliau dan keluarga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin menafikan beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIIS) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Bekas perdana menteri itu turut menyifatkan tuduhan itu fitnah berniat jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah beliau dan keluarga.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata, sewaktu menjadi perdana menteri, beliau sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIIS kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan. Ia bukan di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada ahli keluarganya yang mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Beliau mempersoalkan bagaimana dirinya yang tiada kuasa dalam penganugerahan kontrak, dan keluarganya yang tiada sebarang kepentingan dalam syarikat, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri serta keluarga.

“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar Ibrahim.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau perdana menteri dan anggota kerajaannya melantik anak-beranak dalam kerajaan, termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan.

“Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain.”

Semalam, FMT melaporkan sumber mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pemberian satu kontrak lumayan kepada menantu seorang bekas perdana menteri.

Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, siasatan itu memfokuskan kemungkinan berlaku salah guna kuasa berkaitan NIIS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.