
Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor, berkata Perikatan Nasional secara dasar bersetuju untuk memberi keutamaan kepada partinya, memandangkan PAS menang 37 daripada 45 DUN pada PRU14.
Kamaruddin bagaimanapun berkata rundingan pembahagian kerusi belum muktamad dan pintu rundingan masih terbuka untuk sebarang kemungkinan, seperti Bersatu mempertahankan kerusi yang dimenangi PAS.
“Secara dasarnya, kita ada persetujuan, iaitu Bersatu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi disandang Umno,” katanya kepada FMT.
“PAS juga mungkin akan bertanding di beberapa kawasan yang kini tidak diwakili mana-mana wakil rakyatnya seperti bawah Parlimen Gua Musang dan Jeli … itu antara cadangan yang mungkin akan dibincangkan.”
Kamaruddin berkata tidak wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen PN berhubung pembahagian kerusi DUN Kelantan.
Negeri Pantai Timur Semenanjung itu sekian lama disifatkan sebagai didominasi PAS.
“Kita bertoleransi sesama kita untuk kebaikan bersama dan yang penting, kemenangan, supaya kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sekarang, mewakili PN, dapat dikekalkan.
“Kita sasar menang semua 45 DUN sepertimana (menang semua) 14 Parlimen pada PRU lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata hanya PAS dan Bersatu akan mewakili PN di Kelantan, memandangkan pengundi Melayu membentuk majoriti di semua kawasan.
Gerakan pula akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di negeri lain, tambahnya.
Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat dilapor berkata PAS sudah menyelesaikan agihan kerusi bagi semua 45 DUN bersama rakan komponen PN bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.