
Beliau berkata kerajaan perlu pertimbangkan inisiatif terbaik tanpa menimbulkan bebanan kepada pencarum menjelang persaraan.
“Dulu kita minta benarkan pengeluaran KWSP, banyak keluarkan wang sehingga ada tertinggal RM10,000 mahupun RM5,000. Mereka perlu fikir apa pilihan boleh dilakukan kalau keluarkan (tapi) pencen empat tahun lagi. Apa nak jadi?
“Itu wang pencarum biar mereka keluarkan, tapi kalau tinggal RM3,000 sahaja (dan) pencen lima tahun lagi anak-beranak macam mana?” katanya selepas melancarkan reformasi pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Universiti Selangor, kampus Bestari Jaya.
Semalam Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau menyuarakan kepada Anwar mengenai gesaan pihak yang menginginkan pengeluaran bersasar KWSP, ketika mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Selasa lalu.
Asyraf berpendapat, pengeluaran kali ini memadai buat mereka yang cukup terkesan dan memerlukan, dengan adanya penyaluran bantuan wang tunai kepada rakyat menjelang penggal persekolahan baharu yang sudah diumumkan kerajaan.
Pada 4 Feb, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.
Presidennya Azmi Mohd Tahir berkata, angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum dijalankan pihaknya.
NGO itu mendakwa ia menerima laporan dan aduan seramai 320,000 pencarum terkesan, belum mengambil kira jumlah sebenar pencarum di luar yang betul-betul memerlukannya.