
Asyraf berkata, hasrat itu disampaikan kepada Anwar ketika mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, di Menara Dato’ Onn, semalam.
“Malam tadi sempat juga disuarakan beberapa isu yang menyentuh perihal kegusaran rakyat termasuk bersangkutan dengan tanggungan beban kewangan rakyat menjelang musim persekolahan baharu.
“Walaupun ada yang sinis bahkan memerli dengan mempertikaikan perjuangan kami waktu kerajaan terdahulu agar dibenarkan pengeluaran KWSP buat kali terakhir sehingga kerajaan waktu itu (pentadbiran Muhyiddin Yassin) akur dengan tekanan rakyat,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun, Asyraf berpendapat pengeluaran kali ini memadai buat mereka yang cukup terkesan dan memerlukan.
Ini kerana kerajaan sudah mengumumkan bantuan tunai kepada rakyat untuk disalurkan menjelang penggal persekolahan baharu.
Pada 4 Feb, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) meminta kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar kepada tiga juta pencarum yang benar-benar terkesan.
Presiden PGIR, Azmi Mohd Tahir, berkata angka itu diperoleh berdasarkan kajian senarai pencarum dijalankan pihaknya.
NGO berkenaan mendakwa ia menerima laporan dan aduan seramai 320,000 pencarum terkesan, belum mengambil kira jumlah sebenar pencarum di luar yang betul-betul memerlukannya.