Negara tak mampu bertahan dengan defisit tinggi, kata Anwar

Negara tak mampu bertahan dengan defisit tinggi, kata Anwar

Perdana menteri berkata justeru kerajaan merancang pengurangan hutang negara tanpa membebankan program pembangunan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan akan membentangkan Bajet 2023, pada 24 Fb. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran negara tidak mampu lagi bertahan dengan tahap defisit tinggi dan mesti mencari jalan untuk mengurangkan hutangnya.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata kerajaan sedang merancang pengurangan hutang negara tanpa menjejaskan program pembangunan.

“Saya menerima maklum balas tambahan daripada menteri (berkaitan isu itu),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 30 Jan lalu, Anwar yang dipetik Bloomberg sebagai berkata, kerajaan berusaha secara beransur-ansur mengurangkan hutang negara yang tinggi dan mengecilkan jurang perbelanjaan.

Bagaimanapun, Anwar menolak mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat masa ini atau menaikkan cukai yang boleh memberi kesan kepada golongan miskin.

Anwar mengakui GST sistem cukai paling telus dan efisen tetapi katanya, “kerajaan tidak terburu-buru untuk mengembalikan cukai itu” yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Anwar memberi amaran kedudukan fiskal tahun ini tidak akan selesa, dengan keseluruhan hutang dan liabiliti berjumlah RM1.5 trilion serta bajet defisit ditetapkan sekitar 5.8% daripada KDNK untuk tahun lalu.

Katanya, “kita tidak boleh bertahan” dengan angka ini, dan menambah khidmat hutang maksimum menghampiri tahap yang tidak boleh diuruskan.

Anwar dijadual membentangkan Bajet 2023 yang baharu di Parlimen pada 24 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.