Lelaki beri ular makan anak kucing dalam ‘radar’ JPV

Lelaki beri ular makan anak kucing dalam ‘radar’ JPV

Seorang lelaki mencetus kemarahan warganet selepas mencari anak kucing untuk dijadikan makanan kepada ular peliharaannya.

Seorang lelaki mendedahkan di Twitter dia memberi ular peliharaannya makan anak kucing dan arnab yang diperoleh secara percuma.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan menerima aduan berhubung tindakan seorang lelaki di Twitter yang mencari anak kucing untuk dijadikan makanan kepada ular peliharaannya.

Ketua Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid, dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan itu dan ia dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.

“Saya ambil maklum. Aduan juga diterima melalui emel jabatan dan dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan. Sekiranya ada aduan melibatkan kebajikan haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare,” katanya.

Kegiatan lelaki itu terbongkar menerusi perkongsian tangkap layar di Twitter oleh akaun @vvnloll yang terkejut apabila seorang lelaki mendedahkan dia mengambil kucing atau arnab secara percuma untuk diberi makan ular peliharaannya.

“Saya dan kawan sentiasa pergi mendapatkan anak kucing percuma (atau arnab) untuk diberikan kepada ular kami,” kata lelaki itu di Twitter.

Malah, lelaki itu turut berkongsi perasaan teruja setiap kali melihat ularnya memakan anak kucing.

Tindakan lelaki itu mengundang kemarahan warganet dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan kerana menganggap ia penganiayaan terhadap haiwan.

“Tak pasti mengenai undang-undang yang tepat tetapi tak silap saya untuk bela ular sebagai haiwan peliharaan memerlukan lesen. Mungkin warganet boleh buat aduan polis dengan kerjasama beberapa NGO yang berkaitan dengan haiwan,” kata seorang pengguna Twitter, @alfiezik

“Sampai hatinya dia dengar anak kucing dan arnab menangis kena makan dan kena belit,” kata seorang lagi pengguna, @nadiyahsusinoo

Seorang lagi pengguna Twitter, @hrashidah3 berkata seseorang itu boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara untuk tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah menzalimi haiwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.