
Khairul berkata hanya imigresen boleh mengeluarkan visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di sini.
“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak untuk mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini,” katanya dalam kenyataan, mengulas laporan berita “Petempatan Warga Asing di Nilai Spring Bukan Haram, kata Migrant Care”.
Dalam laporan itu, Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia, memberitahu warga asing ditahan dalam serbuan di lokasi berkenaan mendapat pas lawatan sementara dari pihak Indonesia yang sah selama setahun.
Pada operasi pada 1 Feb, di Nilai Spring, Negeri Sembilan, seramai 67 warga Indonesia berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, dan lain-lain kesalahan.
Mereka didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Khairul berkata, semua yang ditahan dalam operasi bersepadu itu pendatang tanpa izin dan tiada mana-mana pihak boleh mempersoalkan kewajaran imigresen melaksanakan operasi kerana ia tugas hakiki jabatan itu.
“Malah, rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang imigresen negara berkenaan. Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara,” katanya.