Henti guna ejen ambil pekerja asing, kata Anwar

Henti guna ejen ambil pekerja asing, kata Anwar

Perdana menteri menyifatkan yuran tinggi dikenakan ejen tidak ubah seperti 'penghambaan moden' yang 'mengikat' pekerja asing.

Ramai pekerja asing dipaksa membayar yuran tinggi kepada ejen pihak ketiga.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana melibatkan kos tinggi.

“Contohnya bagi pekerja Nepal, kosnya cuma RM3,700,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Namun bagi pekerja Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000.”

Katanya, yuran tinggi yang dikenakan ejen itu tidak ubah seperti “penghambaan moden”.

Yuran dikenakan ejen pekerjaan sekian lama dilihat sebagai punca kos tinggi untuk pengambilan pekerja asing di negara ini.

Pekerja berkenaan selalunya terpaksa mengambil pinjaman dengan kadar faedah tinggi, atau menggadai tanah untuk membayar yuran itu. Ini seterusnya menyebabkan mereka “terikat”.

Beberapa pengeluar sarung tangan tempatan membayar semula pekerja asing kini dan terdahulu bagi yuran pengambilan pekerjaan itu.

Februari lalu, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Saravanan memberitahu majikan yang mahu mengambil pekerja asing supaya membuat permohonan secara terus kepada kementerian itu tanpa menggunakan agensi pihak ketiga.

Saravanan berkata, sebarang permohonan oleh agensi pengambilan pekerja akan terus ditolak.

Pada 2018, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Kulasegaran berkata, kementeriannya akan menyemak semula peranan agensi pengambilan pekerja.

Pusat sehenti (OSC) bagi pengambilan pekerja asing sekali lagi diletakkan di bawah KDN Disember lalu. Tindakan itu kurang enam bulan selepas kerajaan terdahulu meletakkan OSC di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.