
Beliau berkata, memandangkan industri pelancongan negara masih dalam fasa pemulihan selepas wabak Covid-19, Malaysia perlu sensitif kepada trend pasaran dan membenarkan inisiatif pembukaan semula sepenuhnya itu secepat mungkin.
Tiong percaya pihak berkuasa Malaysia mampu menangani lonjakan ketibaan serta mengekalkan ketenteraman di pintu masuk negara, dan tidak lagi menggunakan isu keselamatan sebagai alasan menghalang ketibaan pelancong.
“Ia memberikan imej yang salah mengenai negara dan sistem kita apabila tidak bersedia untuk menyambut ketibaan semula pelancong secara besar-besaran ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
“Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri segera meneliti langkah memperluas visa ketibaan kepada semua negara terutama China dan India bagi mengelakkan kita kehilangan daya saing di rantau ini.”
Tiong juga berkata, perubahan dalam dasar dan mekanisme imigresen ketika ini hendaklah dilakukan secara serentak dengan adaptasi serta penyesuaian kepada produk dan perkhidmatan pelancongan tempatan berdasarkan realiti baharu pasaran.
Promosi bersama pelbagai destinasi pada harga pakej pelancongan tunggal, yang beliau percaya mampu merangsang daya tarikan industri pelancongan di rantau ini, dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dengan menteri pelancongan Indonesia dan menteri negara Singapura.