Tukar keputusan ujian air kencing, SPRM tahan kakitangan makmal

Tukar keputusan ujian air kencing, SPRM tahan kakitangan makmal

Suspek dikatakan menerima RM20,000 sejak 2018 sebagai balasan menukar keputusan air kencing yang dianalisis di makmal hospital kerajaan.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias berkata suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. (Gambar AFP)
JOHOR BAHRU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Segamat menahan seorang kakitangan makmal perubatan bagi membantu siasatan, kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM20,000, sejak 2018.

Menurut sumber lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor Bahru, 8.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan lelaki bertugas di sebuah makmal perubatan hospital kerajaan, meminta serta menerima wang rasuah daripada pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah, sejak 2018 sehingga tahun ini.

“Ia sebagai balasan untuk menukar keputusan air kencing yang dianalisis,” kata sumber berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, 9 pagi esok bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.