
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan memberikan tumpuan bagaimana mencari titik persamaan untuk kerajaan melaksanakan manifesto tersebut.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, agenda tersebut adalah salah satu kaedah bagi memperkukuhkan kerajaan perpaduan selain daripada aktiviti politik.
“Apa yang penting, kita mahu melihat 148 Ahli Parlimen daripada parti-parti gabungan kerajaan perpaduan ini dapat mewujudkan kesatupaduan terutamanya untuk tempoh lima tahun akan datang.
“…dan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti dapat terus memperkukuhkan kerajaan yang ada kerana sejak PRU11, itu merupakan kali terakhir mana-mana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga,” katanya lapor Malaysia Gazzate.
Mesyuarat yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu akan disertai oleh Zahid serta pemimpin-pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.
Zahid berkata, mesyuarat malam ini juga bakal menyaksikan Anwar menjejakkan kaki buat kali pertama di WTCKL selepas 25 tahun.
Berhubung agenda-agenda lain termasuk perbincangan mengenai enam PRN yang akan berlangsung, beliau berkata, perkara itu boleh ditanya kepada Anwar selepas mesyuarat nanti.