
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia akan dilaksanakan selepas solat Maghrib dan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta melaksanakan ibadah sama.
“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat Turki dan Syria.
“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar semua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya dalam kenyataan.
Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Menurut laporan media, gempa bumi itu meragut 912 nyawa di Turki, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria. Setakat ini Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam bencana itu.