
Arkitek, Alex Koenig, yang mengkaji bangunan lama di Pulau Pinang, berkata binaan itu sepatutnya dipelihara kerana ia memaparkan seni bina gaya Art Deco tropika era 1930-an, dengan ciri-ciri Tanah Melayu yang unik.
Reka bentuk menara di bahagian hadapan antara dua binaan konkrit merupakan seni bina klasik, katanya.
“Pulau Pinang mempunyai banyak contoh seni bina gaya Art Deco Tropika. Rex satu daripadanya,” katanya kepada FMT. “Sudah nampak tanda-tanda ia akan pupus.”

Koenig menggambarkan bangunan itu sebagai contoh “reka bentuk yang demokratik”.
Katanya, arkitek terbabit, Charles Boutcher, tahu pawagam itu mampu menarik khalayak daripada segenap lapisan masyarakat.
Koenig berkata, gaya Art Deco Tropika terhasil di Malaysia dan mempunyai ciri-ciri unik seperti bolong bagi menyejukkan bahagian dalaman melalui pengudaraan silang.
Katanya, ciri ini mendahului zamannya dan wajar dijadikan rujukan pada masa kini.
Beliau berkata, ciri lain termasuk binaan seakan kapal seperti ‘porthole’, penggunaan plaster Shanghai di bahagian dalaman, tiang bendera dan aerodinamik sejajar.
“Sedih melihat keaslian reka bina seumpama itu akan dirobohkan,” katanya. Beliau berkata, pemaju mesti mengekalkan sekurang-kurangnya muka bangunannya dan ciri unik lain demi tatapan generasi mendatang.

Katanya, Rex dibina sebagai pawagam ketika panggung lain beroperasi di rumah kedai, sekali gus menjadikannya terserlah.
Bangunan Rex merupakan antara hasil kerja terbaik Boutcher, katanya. Boutcher juga mereka bentuk Rumah Kedah, OCBC Bank, Sentosa Mansion, dan The Cenotaph George Town, selain Masjid Zahir di Alor Setar.
Bangunan Rex dibina pada 1938. Rex Cinema tidak lagi beroperasi pada awal 2000 apabila kedai perabot mengambil alih bangunan itu. Tahun lalu, majlis perbandaran memberi kelulusan bagi binaan berkenaan dirobohkan bagi projek pangsapuri 27 tingkat.