Dividen KWSP diramal lebih rendah tapi masih baik, kata pakar

Dividen KWSP diramal lebih rendah tapi masih baik, kata pakar

KWSP kekal berdaya tahan kerana diuruskan dengan baik menerusi strategi mempelbagaikan cabang pelaburannya.

Ahli ekonomi berkata KWSP secara umumnya diuruskan dengan lebih baik berbanding kemerosotan dana antarabangsa pada 2022.
PETALING JAYA:
Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diramal menerima dividen lebih rendah untuk 2022 tetapi masih di tahap baik, kata ahli ekonomi.

Geoffrey Williams berkata KWSP kekal berdaya tahan kerana diuruskan dengan baik menerusi strategi mempelbagaikan cabang pelaburannya, berbanding dana persaraan Norway, yang dilaporkan mengalami kerugian baru-baru ini.

Geoffrey Williams

“Pulangan KWSP mungkin kelihatan rendah didorong persekitaran kewangan keseluruhannya, namun dividen masih lagi baik,” kata profesor dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Pencarum mempunyai jumlah simpanan tinggi boleh menjangkakan pulangan baik. “KWSP kekal antara terbaik bagi pelabur jangka panjang,” katanya kepada FMT.

Williams berkata, sukar untuk mengatasi dividen 6.1% pada 2021 bagi simpanan konvensional.

Yeah Kim Leng.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway, berkata kebanyakan dana antarabangsa, termasuk KWSP, diramal merekodkan kerugian atau prestasi kurang memberangsangkan bagi 2022 susulan peningkatan kadar faedah menjejaskan pasaran modal, pada tahun itu.

Yeah berkata, sebahagian besar portfolio KWSP adalah sekuriti pendapatan tetap dan saham asing.

Bagaimanapun, Liew Chee Yoong dari Pusat Pendidikan Pasaran, berkata KWSP berkemungkinan tidak mengalami kerugian besar dan mampu mengekalkan pembayaran 5.5% hingga 6.5%, pada 2022.

Liew Chee Yoong.

Katanya, berdasarkan pendapatan pelaburan RM39.3 bilion bagi sembilan bulan pertama, penurunan hanya 18% berbanding RM48 bilion direkodkan dalam tempoh sama, pada 2021.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.1% bagi simpanan konvensional membabitkan pembayaran RM50.5 bilion dan 5.6% bagi simpanan syariah, melibatkan pembayaran RM6.3 bilion.

Pembayaran KWSP bagi simpanan konvensional dalam lingkungan terendah 5.2% (2020) kepada tertinggi 6.9% (2017), sejak sedekad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.