Pukul warga emas hingga mati, pembantu tukang masak direman 7 hari

Pukul warga emas hingga mati, pembantu tukang masak direman 7 hari

Suspek berusia 55 tahun ditahan kerana disyaki membelasah mangsa menggunakan kayu hingga mati.

Polis berkata, pihaknya merekod keterangan lima saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu tukang masak yang disyaki menumbuk dan memukul majikannya hingga mati berhampiran sebuah restoran di Jalan Stadium, Alor Setar direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata suspek berusia 55 tahun itu direman bermula hari ini selepas ditahan petang semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

“Lima saksi direkod keterangan bagi membantu siasatan. Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya menurut Astro Awani.

Dalam kejadian petang Sabtu, warga emas berusia 68 tahun itu rebah selepas dipercayai ditumbuk dan dipukul menggunakan kayu bendera oleh suspek yang juga pembantu tukang masak.

Sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dengan isteri serta anak perempuan suspek yang turut bekerja di restoran terbabit.

Siasatan polis mendapati, isteri suspek berang selepas anak mangsa menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang sudah dicuci.

Mangsa kemudian keluar dari restoran dan memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

Mangsa dikatakan tiba-tiba rebah sebaik sahaja pergaduhan itu berjaya dileraikan ahli keluarga masing-masing sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.