Suspek bunuh, tanam mayat direman 7 hari

Suspek bunuh, tanam mayat direman 7 hari

Polis berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan semalam, bersama kekasihnya yang juga isteri mangsa.

Pasukan forensik menemui mayat dibalut plastik hitam di belakang sebuah banglo di Subang Jaya semalam.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga India yang dipercayai membunuh dan menanam mayat suami kekasihnya di belakang sebuah banglo di Subang Jaya pada Mei tahun lepas direman tujuh hari, menurut polis.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan semalam, bersama kekasihnya yang juga isteri mangsa, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat.

Katanya, pasangan kekasih itu pada mulanya ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pasport dan kemudian ditahan semula selepas lelaki tersebut mengaku terbabit dalam pembunuhan.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 11 Feb untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia yang turut ditahan sebelum ini disambung reman dua hari lagi bermula hari ini.

Wan Azlan berkata, pihaknya sudah merakam keterangan tiga orang awam bagi membantu siasatan, namun tiada tangkapan baharu setakat ini.

Semalam, media dilaporkan mayat seorang lelaki warga India ditemui ditanam di belakang sebuah banglo di Subang Jaya, Selangor.

Lelaki berusia 25 tahun itu dilaporkan dibunuh Mei 2022 oleh seorang lelaki yang juga rakan senegaranya, selepas tembelang dia menjalin hubungan dengan isteri mangsa terbongkar.

Susulan itu, polis menahan isteri mangsa dan kekasihnya, serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia bekerja di banglo terbabit yang dijadikan pusat jagaan orang tua, bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.