
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, antaranya Ahli Parlimen boleh berusaha mendapatkan bantuan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada rakan-rakan korporat mereka.
“Dalam keadaan ekonomi dan kekangan kewangan yang ada ini, setiap Ahli Parlimen perlu mengambil tanggungjawab supaya dapat menyantuni warga setempat di kawasan mereka.
“Apa yang penting, pastikan kebajikan rakyat itu sentiasa terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza di Angkasapuri semalam, yang turut dihadiri Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura Josephine Teo.
Semalam dilaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, mengesahkan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen akan dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta, bertujuan untuk mengawal kewangan negara.
Pengurangan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, tambahnya.
Fahmi menyifatkan langkah pengurangan itu bertepatan dengan situasi ekonomi ketika ini selain memperlihat kebijakan perdana menteri dalam menangani kekangan kewangan yang ada.
Bagaimanapun, beliau percaya perdana menteri akan menilai semula perkara berkaitan pengurangan peruntukan bagi Ahli Parlimen itu apabila tiba masa sesuai.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai harapan kementeriannya dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini, Fahmi berkata, pihaknya sudah mengajukan beberapa cadangan tambahan dan perubahan yang ingin dilakukan.
“Apa pun, kita ambil maklum keadaan ekonomi sekarang terutama daripada segi keadaan kewangan, dan bebanan hutang kerajaan, maka program-program yang akan kita atur ini, kita harap dapat memberi impak yang tinggi terutama untuk membantu menjana ekonomi negara,” katanya.