
“Saya benar-benar tidak percaya perkara sebegini masih berlaku. Kita mesti memperkenalkan undang-undang yang menganggap kata-kata penghinaan berunsur perkauman sebagai kesalahan dan boleh dihukum,” kata jurucakap kumpulan G25, Noor Farida Mohd Ariffin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden kata-kata penghinaan berunsur perkauman yang diucapkan berhubung sebuah konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas.
Pempengaruh tersebut sedang disiasat polis, manakala pemain hoki Hanis Nadiah Onn memohon maaf atas kenyataan dibuatnya.
Farida berkata, jika undang-undang yang menjenayahkan kenyataan berunsur perkauman diperkenalkan, mangsa boleh membuat laporan terhadap pelaku.
Katanya, kata-kata penghinaan sebegitu yang dikeluarkan oleh orang muda menunjukkan toleransi antara kaum semakin menipis.
Berdekad lamanya, kumpulan aktivis telah menggesa agar undang-undang berkaitan hubungan antara kaum diwujudkan. Tahun lepas, bekas menteri undang-undang Nazri Aziz turut menggesa agar undang-undang anti-perkauman digubal sebagai instrumen untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Farida berpandangan, satu punca berlakunya perkara ini adalah kurangnya interaksi antara kaum dalam kalangan pelajar, yang diburukkan oleh “terlalu banyak masa” yang diperuntukkan bagi pengajian agama di sekolah kebangsaan, sehingga dikatakan memisahkan murid beragama Islam dan bukan Islam.
Katanya, jelas apa yang berlaku menunjukkan perlunya reformasi terhadap kurikulum pendidikan kerana pelajar tidak sepatutnya dipisahkan dari mula.
Aktivis sosial Chandra Muzaffar, yang juga menyokong penggubalan undang-undang perkauman, mempersoalkan sama ada pihak berkuasa dan masyarakat keseluruhannya cuba menyemak sejauh mana kata-kata penghinaan berunsur perkauman digunakan.
Orang ramai sepatutnya mengecam penggunaan kata-kata sebegitu.
“Dengan cara itu, mereka yang mengucapkannya akan sedar perbuatan itu sesuatu yang memalukan dan akan berhenti melakukannya,” katanya.