Berubah atau risiko Umno ditolak rakyat selamanya, kata Ismail

Berubah atau risiko Umno ditolak rakyat selamanya, kata Ismail

Naib presiden Umno itu berkata, pucuk pimpinan perlu merangka strategi bermula sekarang, terutamanya untuk menarik orang muda.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Umno memerlukan imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda.
PETALING JAYA:
Umno perlu melakukan perubahan drastik agar tidak terpisah dengan kehendak rakyat. terutama golongan muda, atau berdepan risiko disingkir terus selama-lamanya, kata naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, katanya, pucuk pimpinan perlu merangka strategi bermula sekarang susulan kekalahan teruk pada PRU15.

“Perlu ada imej dan tawaran baharu serta tidak boleh terpisah dengan golongan muda kerana kalau PRU15 golongan muda sekarang penuhi saluran lima dan enam, mereka nanti akan pindah ke saluran tiga dan empat.

“Jadi kalau kita tak ubah, waktu mereka saluran lima dan enam sudah tolak kita, apabila mereka pindah ke saluran tiga atau empat, mereka tetap tolak kita. Jangan lupa kita akan ada pengundi baharu saluran lima dan enam.

“Kalau dulu 4.5 juta terus ke saluran tiga dan empat dan ditambah lagi 4.5 juta di saluran lima dan enam ini, makna sembilan juta. Kalau kali ini tolak kita awal lagi kita kalah. Sebab itu saya kata perlu beri harapan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pada PRU15, Umno sekadar menang 26 kerusi menjadikannya rekod paling buruk parti berkenaan.

Mengulas berhubung tindakan menggantung dan memecat beberapa pemimpin Umno, Ismail berkata, parti seperti mengambil langkah mengundur dan perkara itu akan memberi petanda salah kepada golongan muda.

“Kita memberi petanda yang salah kepada mereka, iaitu parti Umno tiada demokrasi, dipecat atau digantung. Itulah persepsi mereka sekarang terhadap parti ini.

“Mereka (orang muda) lebih melihat dan mahukan pemimpin yang dipecat Umno seperti Khairy. Beliau (Khairy) terbuka dalam mengkritik parti dan pada orang muda itu sesuatu yang wajar,” katanya.

Ismail berkata, orang muda tidak akan masuk parti yang menyekat kebebasan mereka.

“Sebab itu, saya kata mereka (orang muda) ideal. Mereka mahu kebebasan diberi pada ahli,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.