Belanjawan bantu golongan miskin, orang muda tambah pendapatan, kata Rafizi

Belanjawan bantu golongan miskin, orang muda tambah pendapatan, kata Rafizi

Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diperincikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim apabila membentangkan Bajet 2023 pada 24 Feb.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, inisiatif baharu yang dimuatkan dalam Bajet 2023 itu akan membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan bagi mengimbangi kesan inflasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ruang baharu bagi golongan miskin dan muda menjana pendapatan tambahan adalah antara perkara dimuatkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 Feb.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, inisiatif itu membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan bagi mengimbangi kesan inflasi, seperti kenaikan harga barangan, serta menampung perbelanjaan mereka.

Perincian inisiatif itu akan diumumkan Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan belanjawan, tambahnya.

“Kita akan mengumumkan menjelang hujung Februari. Saya tunggu bajet diumum dan diluluskan dulu. Selepas akhir Februari, akan diperkenal program melibatkan inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat, merangkumi harga barang dan soal pendapatan,” katanya, lapor Berita Harian.

“Perkara itu sudah dimasukkan dalam Belanjawan 2023. Program pilot pertama (perintis) sedang disusun dan kita tunggu belanjawan diluluskan, lepas itu kita umumkan.”

Katanya, Parlimen Pandan akan menjadi antara lokasi perintis projek bagi mengukur keberkesanan inisiatif baharu itu.

“Insya-Allah salah satu inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat bagi golongan miskin ini. Kita akan uji dan lancar di Pandan dulu.

“Kalau berjaya, dapat sambutan baik daripada penduduk di Pandan, kita boleh sebar luaskan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.