Azam terbuka lantikan ketua, pegawai kanan SPRM bawah Parlimen

Azam terbuka lantikan ketua, pegawai kanan SPRM bawah Parlimen

September lalu, Azam Baki ada mencadangkan jawatan ketua SPRM sepatutnya mempunyai tempoh jaminan khidmat dan sebarang penyingkiran hendaklah tertakluk kepada tribunal.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan melakukan reformasi dikehendaki ke atas agensi itu.(Bernama pic)
PETALING JAYA:
Azam Baki terbuka dengan cadangan lantikan ketua mahupun pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen.

Ketua pesuruhjaya itu mengulas berhubung cadangan disuarakan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang mahu pemilihan ketua agensi ‘sensitif’ dilantik terus di bawah Parlimen.

Azam berkata, setakat ini pihaknya belum dipanggil terbabit dalam perbincangan berkaitan perkara itu.

“Terpulang kepada reformasi yang dilakukan kerajaan. Namun, setakat ini, SPRM masih tidak mengetahui terma dan mekanisme yang akan dilakukan.

“Kita sentiasa terbuka dan tiada sebarang isu. Kita juga bersedia memberi pandangan,” katanya menurut Berita Harian.

Johari dalam temu bual eksklusif bersama BH, berkata, pemilihan ketua agensi ‘sensitif’ itu terus di bawah Parlimen adalah kaedah terbaik memastikan badan berkenaan bebas, selain tidak condong memihak kepada individu atau pihak tertentu.

“Permintaan ke arah itu sudah lama dibuat dan saya amat setuju beberapa jawatan penting mesti diletakkan di bawah Parlimen. Di bawah Parlimen maksudnya bukan menjadi tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi di bawah tanggungjawab Parlimen.

“Antara jawatan (sensitif) itu ialah ketua pesuruhjaya SPRM, SPR, selain empat hingga lima jawatan agensi lain. Kita kena tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menjadikannya realiti,” katanya.

Pada 29 September lalu, Azam berkata, SPRM sudahpun menjadi sebuah institusi bebas dan tidak perlu diletakkan di bawah Parlimen semata-mata untuk ketelusan, selain mahu bebas daripada tekanan politik.

Daripada meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Azam berkata, lebih baik tumpuan diberikan kepada tugas ketua pesuruhjaya supaya selamat daripada penyingkiran secara mengejut.

Beliau berkata, jawatan ketua pesuruhjaya sepatutnya mempunyai tempoh jaminan perkhidmatan dan sebarang penyingkiran hendaklah tertakluk kepada tribunal, sama seperti seorang hakim disingkirkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.