Tak pertahan jawatan Umno, Shahrir fokus bersih nama di mahkamah

Tak pertahan jawatan Umno, Shahrir fokus bersih nama di mahkamah

Walaupun dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram, Shahrir Samad masih berdepan dua saman berhubung kontroversi pembangunan tanah di Jalan Semarak.

Shahrir Samad akan kekal sebagai ahli Umno dan sedia membantu parti berdasarkan pengalamannya, selepas tidak mengetuai Umno Bahagian Johor Bahru. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran Umno, Shahrir Samad mahu memfokuskan usaha membersihkan namanya di mahkamah, selepas tidak mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Johor Bahru pada pemilihan parti akan datang.

Walaupun dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram bulan lalu, katanya, beliau masih berdepan dua lagi saman berhubung kontroversi pembangunan tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur membabitkan Felda dan pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd.

Synergy Promenade pada 4 Jun 2018 menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Shahrir, yang juga bekas pengerusi Felda, kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah pada Disember 2017 hingga Mac 2018.

Pada 15 Nov 2019, Felda bersama anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) memfailkan saman terhadap Shahrir dan seorang lagi bekas pengerusinya, Isa Samad, SPSB serta 18 yang lain untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak.

“Saya mungkin terlibat dengan kedua-dua saman ini untuk tempoh yang lama,” kata Shahrir kepada FMT.

Pada 5 Jan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shahrir daripada tuduhan pengubahan wang berjumlah RM1 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Walaupun tidak mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Shahrir berkata, beliau akan kekal sebagai ahli Umno dan sedia membantu parti berdasarkan pengalamannya.

“Parti harus melalui perubahan generasi dalam kepimpinannya, terutamanya di peringkat bahagian dan akar umbi.

“Perubahan kepimpinan di peringkat bahagian akan membolehkan generasi pelapis dalam Umno ke hadapan dan memberi nafas baharu kepada parti.

“Tidak kurang penting, saya sudah merasa nikmat sebenar bersama keluarga sejak PRU14 dan nikmat ini lebih berharga bagi saya daripada terus bergiat dalam politik di peringkat bahagian.”

Beliau menerajui Umno Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an dan pernah menjadi Ahli Parlimen Johor Bahru selama enam penggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.