
Kavithradevi Pragasan berkata, salah seekor anjing itu bunting dan kemudiannya melahirkan dua anak di pekarangan majlis itu. Bagaimanapun, kedua-dua anak anjing itu mati.
“Saya harap pihak berkuasa boleh bersikap lebih baik hati apabila melaksanakan tugas,” kata Kavithradevi kepada FMT.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di media sosial, pekerja penguatkuasa MPKK dilihat mengheret salah seekor anjing itu dengan lehernya melepasi pagar setinggi kira-kira 1.5m, sebelum memasukkannya ke dalam sangkar menggunakan gelung penangkap.
Anjing-anjing liar itu kemudian dibawa ke tempat kurungan MPKK Junjung Kulim, di mana salah seekor daripadanya melahirkan dua ekor anak.
“Jika majlis perbandaran menangkap anjing, ia harus memaklumkan kepada tempat perlindungan haiwan terdekat, tetapi pada masa ini, tiada pemberitahuan mengenainya dibuat,” kata Kavithradevi, yang merayu agar haiwan-haiwan tersebut diberi layanan lebih baik.
“Tidak banyak tempat mempunyai klinik haiwan untuk menangani kecemasan. Terdapat beberapa kemudahan kerajaan, tetapi di Kulim, ini jarang digunakan. Jika boleh, kerajaan perlu menubuhkan klinik haiwan 24 jam.”
Dengan bayaran “jaminan” RM550, Kavithradevi mengatur pelepasan anjing-anjing tersebut, namun tidak dapat menyelamatkan anak-anak anjing itu kerana mereka telah dibiarkan terlalu lama sehingga dihurung semut.
Dakwanya, pegawai MPKK “tidak melakukan apa-apa, hanya membiarkan haiwan itu begitu sahaja”.
“Walaupun setelah saya maklumkan kepada pos pengawal, mereka tidak peduli,” katanya.
Sebelas ekor anjing itu dibawa oleh Kavithradevi ke rumah rakannya, sementara beliau menunggu tempat perlindungan haiwannya sendiri siap dalam tempoh beberapa minggu.
Dalam satu kenyataan, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mengecam kejadian itu, sambil menegaskan ia melanggar SOP majlis itu sendiri untuk penangkapan anjing dengan selamat.
“Antara SOP yang disenaraikan adalah (pegawai) tidak boleh mengheret haiwan yang ditangkap kerana boleh menyebabkan kecederaan pada leher.
“Selain itu, mereka mesti menggunakan platform apabila memuatkan anjing ke dalam kenderaan, supaya ia boleh berjalan, bukannya diseret dan dicampak,” kata Presiden SAFM R Kalaivanan.
Kalaivanan meminta maklum balas daripada MPKK, mempersoalkan tindakan yang akan diambil bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
“Mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, mencederakan haiwan adalah satu kesalahan yang boleh dihukum. Adakah akta itu terpakai bagi MPKK?”
FMT telah menghubungi MPKK untuk mendapatkan komen.