Etika pemakaian ikut budi bicara ketua jabatan, kata Acryl Sani

Etika pemakaian ikut budi bicara ketua jabatan, kata Acryl Sani

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengulas insiden di balai polis Kajang, dengan berkata kelonggaran mungkin diberikan dalam kes kecemasan.

Acryl Sani Abdullah Sani berkata etika berpakaian bagi menunjukkan orang ramai berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan yang tertib dan sopan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kod pemakaian bagi orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan memang wujud, namun penguatkuasaannya terpulang kepada budi bicara ketua jabatan.

Kelonggaran mungkin akan diberikan dalam isu kecemasan tertentu, tambahnya.

Pada sidang media hari ini, beliau berkata, ketua setiausaha telah mengeluarkan arahan mengenai pakaian yang sesuai untuk mereka yang mengunjungi pejabat kerajaan.

“Kita mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa orang ramai berurusan di pejabat kerajaan dalam keadaan yang tertib dan sopan.

“Kita boleh membuat kelonggaran berdasarkan jenis kecemasan dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis,” katanya selepas menghadiri program mendaki bersama pasukan polis di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini.

Mengulas kejadian seorang wanita dihalang memasuki balai polis kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut, Acryl Sani berkata, mungkin berlaku salah faham antara orang awam dengan anggota bertugas.

“Saya difahamkan, pengadu tersebut memakai seluar pendek, anggota polis yang bertugas telah menasihatinya menukar pakaian yang lebih sopan, mungkin telah berlaku salah faham dalam kejadian itu,” katanya.

Baru-baru ini, seorang wanita mendakwa beliau dilarang memasuki IPD Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan jalan raya disebabkan pemakaiannya.

Wanita itu mendakwa, dia memakai seluar menutup bahagian lutut, namun hanya dibenarkan masuk selepas kakaknya membawa sehelai seluar panjang untuknya.

Polis Kajang kemudiannya mengesahkan wanita itu dihalang memasuki IPD kerana pakaiannya tidak mematuhi kod etika.

Kejadian itu mendapat tindak balas pelbagai pihak, termasuk bekas ketua polis negara Musa Hassan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Nancy Shukri.

Menurut mereka, polis tidak seharusnya menghalang orang awam membuat laporan disebabkan pemakaian, kerana tugas mereka adalah untuk membantu orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.