
Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah berkata, gesaan itu disuarakan dalam pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.
“Sebahagian besar daripada kami membuat pertimbangan dan kewarasan untuk meminta Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mereka menyokong Shahrizat berdasarkan banyak kejayaan dicapainya ketika menjadi menteri wanita, keluarga dan masyarakat.
Semalam, FMT melaporkan Shahrizat dikatakan bakal kembali ke gelanggang, sekali gus menjadi pesaing Noraini yang akan mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno.
Memetik kenyataan sumber, hasrat Shahrizat kembali menerajui Wanita Umno disuarakan akar umbi kerana sayap penting dalam parti itu dikatakan semakin “lemah dan lesu”.
Shahrizat yang mengetuai Wanita Umno sejak 2008 mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti 2018 kerana mahu ia diterajui individu yang mempunyai cara dan idea baharu.
Noraini mengetuai Wanita Umno selepas menewaskan Azizah Dun pada pemilihan parti 2018.
Pemilihan Umno bermula di peringkat cawangan dari 1 hingga 26 Feb ini, manakala peringkat bahagian dan pusat tiga sayap pada 11 Mac dan Umno bahagian serta Majlis Kerja Tertinggi pada 18 Mac nanti.