
Budak lelaki itu yang kini berusia 25 tahun, disahkan menghidap sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan sindrom Asperger.
Saman itu, yang difailkan pada 2017, menamakan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Seksyen 17 di Shah Alam, pengetuanya ketika itu Sazali Mohd Karli, Kementerian Pendidikan, dan kerajaan sebagai defendan.
Mereka berhujah bahawa sekolah dan kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran selamat untuk kanak-kanak, selamat dan selesa selain memastikan guru, kakitangan sokongannya dilatih untuk mengendalikan pelajar berkeperluan khas.
Bagaimanapun, Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Plaintif bergantung kepada empat insiden ‘buli’ (yang dikatakan berlaku pada 2016) untuk membuktikan kes mereka terhadap kerajaan.
“Apabila saya melihat keseluruhan bukti, ibunya tidak hadir bila tiga daripada empat kejadian berlaku,” kata Nik Hasmat.
Anak lelaki itu juga tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah, katanya, sambil menambah tiada keterangan daripada saksi untuk menyokong kenyataan plaintif.
Kedua-duanya mendakwa bahawa budak itu telah dibuli dan diserang sebanyak tiga kali. Pada kali keempat, mereka mendakwa rakan sekelas telah mengancam untuk mencederakannya.
Hakim berkata, walaupun kejadian yang didakwa berlaku, ibu itu tidak cuba untuk memindahkan anaknya keluar dari sekolah berkenaan.
Sebaliknya, anak lelakinya itu masih bersekolah di situ dan menamatkan persekolahannya.
Mahkamah juga mendapati tiada pelanggaran oleh kerajaan terhadap undang-undang statut dan Common Law terhadap budak lelaki itu.
“Kerajaan tidak menyumbang kepada (mana-mana) insiden,” kata Nik Hasmat.
Mereka berdua diarah membayar kos RM10,000 kepada kerajaan.
Ibu dan anak itu diwakili peguam Sangeet Kaur Deo dan Tan Chee Kian. Peguam Kanan Persekutuan Radzi Shah Ab Razak dan Safiyyah Omar mewakili sekolah dan kerajaan.