
Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt, berkata harga daging dan ikan sekarang lebih murah berbanding sayur-sayuran.
“Hujan sentiasa turun dan tiada cahaya matahari, jadi kami tidak dapat menuai sayur-sayuran. Ini telah menyebabkan kekurangan bekalan, semuanya mendorong harga naik,” kata Wong kepada FMT.
“Di peringkat borong, tomato dijual pada harga RM10 sekilogram dan apabila sampai ke pasar raya, ia akan dijual pada harga RM13.
“Cuma yang murah sekarang ialah kangkung (RM2/kg) dan kobis (RM2/kg), malah sawi dan bok choy pun mahal.”
Wong berkata jika hujan tidak reda, harga boleh terus melambung tinggi. Bagaimanapun, bekalan dari Thailand boleh mengurangkan kenaikan harga yang mendadak.
“Kami telah mengimport dari Thailand, jadi harga mungkin turun sedikit.”
Wong berkata sayur-sayuran juga diperolehi dari China tetapi mereka mengambil masa kira-kira 10 hari untuk tiba di Malaysia, manakala ia hanya mengambil masa tiga hari dari Thailand.
Manakala Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayur Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata banjir di beberapa tanah ladang telah menyumbang kepada kekurangan dan harga yang lebih tinggi.
“Dari hari pertama Tahun Baru Cina pada 22 Jan sehingga hari ini, keadaan hujan yang tidak menentu. Ketika cuaca di Johor semakin baik, ladang di Kuantan telah ditenggelami air.
“Hujan berterusan bermakna tanah ladang ditenggelami air, jadi sayur-sayuran tidak boleh tumbuh dan tidak ada tuaian,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata harga beberapa jenis sayur-sayuran telah meningkat sebanyak 160%.
Menurut CAP, harga bendi telah meningkat sebanyak 166% daripada RM6 sekilogram bulan lepas kepada RM16 sekilogram bulan ini.
Harga kacang panjang pula meningkat dua kali ganda harga daripada RM6 sekilogram kepada RM12 sekilogram, tomato daripada RM4.50 sekilogram kepada RM10 sekilogram (peningkatan 120%), dan terung daripada RM7 sekilogram kepada RM12 sekilogram (peningkatan 71%).