
PMO dalam satu kenyataan berkata, bajet itu juga menyaksikan peningkatan peruntukan untuk pembangunan dan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan serta infrastruktur luar bandar.
“Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
“Kerajaan juga mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata PMO dan menambah Putrajaya juga komited untuk mengurangkan hutang negara.
Katanya, ini bagi memastikan nisbah hutang dan liabiliti negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus terkawal.
“Pada 2022, hutang dan liabiliti negara hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80% daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang dijangka melebihi 15% daripada hasil,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, dengan pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menyederhana pada 2023, maka bajet negara mencerminkan tanggungjawab kerajaan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan dijadual membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini.