
Menurut Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya mendapat maklumat berhubung kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu pada 12.55 tengah hari dan siasatan awal mendapati terdapat kecederaan pada badan mangsa.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Hasil bedah siasat mendapati kecederaan pada belakang mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya menurut Harian Metro.
Yusri berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 8 Feb ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan menularkan maklumat tidak sahih berhubung kes itu.